4 Pengganas Sulu Bersenjata Datang Tuntut Mayat Rakan Di Hospital Adalah Palsu
SEMPORNA, 11 Mac (Bernama) -- "Tolong jangan sebar berita atau maklumat tidak benar di tempat kami hingga mencetuskan ketakutan kepada penduduk," kata Pengarah Hospital Daerah Semporna Dr Amran Japar, Isnin.
Beliau berkata kawalan keselamatan yang dilakukan anggota polis terutama di kawasan hospital itu memberi keyakinan kepada penduduk untuk berurusan seperti biasa.
Namun ada segelintir pemberita yang melaporkan berita palsu seterusnya menakutkan penduduk, katanya.
Serentak itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Isnin yang mendakwa empat lelaki bersenjata M-16 dipercayai pengganas Sulu, datang ke hospital daerah Semporna untuk menuntut mayat anggota kumpulan mereka.
"Saya minta janganlah pihak pemberita memandai-mandai membuat berita palsu ini, kerana mungkin ia akan menyebabkan penduduk takut untuk ke hospital," katanya kepada Bernama.
Dr Amran memberitahu sejak insiden serangan hendap di Kampung Simunul 2 Mac lepas yang mengorbankan enam anggota polis, sepasukan anggota polis bersenjata berkawal di hospital itu.
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kehadiran empat individu bersenjata di Hospital Daerah Semporna.
"Saya ingin tegaskan di sini, jangan mudah percaya dengan khabar angin, saya minta mereka (pihak tidak bertanggungjawab) hentikan berita palsu ini," katanya.
0 komentar:
Posting Komentar